top of page

LAWATAN TEKNIKAL BERKAITAN PERKONGSIAN DATA IMEJ SATELIT MELALUI APLIKASI MYGEOSERVE OLEH MAJLIS PERBANDARAN SELAYANG

KUALA LUMPUR, 15 April — Bahagian Pangkalan Data Geospatial Negara (BPDGN), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) hari ini menerima kunjungan dan lawatan teknikal daripada delegasi Majlis Perbandaran Selayang (MPS). Sesi lawatan yang disertai oleh 16 orang pegawai MPS itu diketuai oleh Pengarah Jabatan Kejuruteraan, Tuan Ir. Hj. Shaiful Nor Aidil bin Mohd Jaya, bertempat di Bilik Mesyuarat Kencana, Tingkat 7, Wisma JUPEM.


Sesi bergambar kenangan bersama Pengarah Jabatan Kejuruteraan, Tuan Haji Ir. Hj. Shaiful Nor Aidil bin Mohd Jaya sebagai simbol penghargaan dan kenangan


Sesi mesyuarat yang bermula pada jam 3.00 petang itu dipengerusikan oleh Pengarah Ukur Bahagian (PDGN), LSr Jamil Faisal bin Yusoff. Dalam ucapan alu-aluannya, beliau menerangkan peranan BPDGN yang menempatkan pangkalan data JUPEM GeoHub, berfungsi mengumpul dan berkongsi data geospatial kepada agensi luar berteraskan konsep Service-Oriented Architecture (SOA).


Agenda utama lawatan memfokuskan kepada taklimat dan demonstrasi sistem portal MyGeoServe. Pihak MPS menzahirkan minat yang tinggi terhadap penggunaan portal ini untuk diaplikasikan dalam perancangan bandar pintar (Smart City), pemantauan perubahan guna tanah, serta pengurusan kawasan berisiko bencana di bawah pentadbiran mereka.


Dalam pada itu, pihak BPDGN, JUPEM turut menjelaskan bahawa Jabatan ini memfokuskan kepada pengeluaran imej ortofoto berbanding imej satelit secara terus. Walau bagaimanapun, perkongsian data maklumat geospatial ini dilihat amat relevan dan dapat membantu melancarkan operasi pihak berkuasa tempatan.


Sebagai langkah proaktif pada masa hadapan, MPS merancang untuk menjemput pegawai teknikal BPDGN bagi mengendalikan sesi latihan (hands-on) secara khusus untuk kakitangan mereka. Pertemuan yang berakhir pada jam 5.00 petang ini diharap menjadi titik tolak kepada kerjasama strategik yang lebih erat antara kedua-dua agensi.



Sumber : Bahagian Pangkalan Data Geospatial Negara (BPDGN), JUPEM

Komen

Dinilai 0 daripada 5 bintang.
Belum ada penilaian

Tambah penilaian
  • Facebook
  • X
  • Instagram
  • TikTok

Jumlah Pelawat

Logo JUPEM

Hakcipta Terpelihara

JUPEM @ 2024

puzzle

Pembangunan Platform

Seksyen Inovasi dan Dokumentasi

bottom of page