BPTSwk JUPEM @ Kejohanan MSS Daerah Bau
- NORITA BT ATEK (JUPEM-BPTSWK)
- 3 Jun
- 2 min membaca
Bahagian Pemetaan Topografi Sarawak, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (BPT Sarawak, JUPEM) telah dijemput bersama-sama dalam Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah (MSS) Peringkat Daerah Bau, Sarawak Tahun 2025 yang berlangsung meriah pada 21 hingga 22 Mei 2025 di Stadium Mini, Bau. Program tahunan anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bau ini bertujuan mencungkil bakat atlet muda dan memupuk semangat kesukanan dalam kalangan murid sekolah rendah sekitar daerah Bau. Program ini juga melibatkan penyertaan lebih 1000 pelajar sekolah yang meliputi sebanyak 40 buah sekolah rendah di daerah Bau, Sarawak.
Majlis perasmian Kejohanan Olahraga ini telah disempurnakan oleh Encik Edward anak Ngelai, Pegawai Pendidikan Daerah dari Pejabat Pendidikan Daerah Bau.

Penglibatan BPT Sarawak, JUPEM dalam program ini merupakan salah satu program outreach BPT Sarawak dengan komuniti di luar sana khasnya dengan sektor pendidikan. Ia juga merupakan salah satu kaedah JUPEM untuk mewar-warkan fungsi dan aktiviti Jabatan kepada masyarakat di Sarawak. Dalam program tersebut, BPT Sarawak turut mempromosikan produk dan aktiviti pemetaan seperti penggunaan Unmanned Aeriel Systems (UAS) bagi aktiviti pemetaan di reruai pameran, malah turut menyumbang kepakaran teknikal melalui bantuan penggambaran sepanjang program sukan tersebut berlangsung. Rakaman penggambaran ini dapat membantu pihak penganjur mendokumentasikan acara dari sudut pandang yang lebih menyeluruh dan menarik, sekali gus meningkatkan nilai visual penganjuran sukan ini.


Sebagai penghargaan atas kerjasama yang diberikan, BPT Sarawak, JUPEM telah diberi penghormatan untuk menyampaikan hadiah kepada penerima hadiah Kategori Lelaki dan Perempuan terbaik sepanjang kejohanan sukan berlangsung. Wakil BPT Sarawak, JUPEM, Sr Norazmel bin Abd Karim, telah menyempurnakan penyampaian hadiah tersebut.
Penglibatan JUPEM, khususnya melalui BPT Sarawak, mencerminkan komitmen berterusan Jabatan dalam menyokong pembangunan pendidikan dan komuniti melalui perkongsian ilmu dan kepakaran di samping memperkukuhkan hubungan strategik antara agensi Kerajaan dan juga masyarakat setempat.


Comments