MENELUSURI WARISAN KARTOGRAFI: WATIKAH KEMERDEKAAN DAN PROKLAMASI MALAYSIA
- MOHD FAZLY BIN MOHD NOOR (JUPEM-BKGIS)
- 19 jam lalu
- 2 min membaca
KUALA LUMPUR | 21 OGOS 2026 - Pasukan Dokumentari Bahagian Kartografi dan GIS (BKGIS) yang diketuai oleh LSr Rabiulkhair bin Mohd Nor, Pengarah Ukur Seksyen Data Geospatial, BKGIS telah mengadakan lawatan ke Arkib Negara Malaysia bagi menelusuri sejarah serta melihat dengan lebih dekat dua dokumen penting sejarah negara, iaitu Watikah Pemasyhuran Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dan Watikah Proklamasi Malaysia.

Lawatan ini turut disertai oleh Sr Mohd Fazly bin Mohd Noor, Penolong Pengarah Ukur (Seksyen Percetakan) dan Sr Nik Mohd Ramli bin Nik Yusoff, Penolong Pengarah Ukur (Seksyen Penerbitan Peta Digital). Turut bersama adalah pasukan JUPEM Media.
Menariknya, kedua-dua dokumen bersejarah ini mempunyai kaitan langsung dengan sejarah Jabatan Ukur, di mana kedua-dua dokumen ini disediakan oleh Unit Rekabentuk Keselamatan, Seksyen Kartografi, Jabatan Ukur pada ketika itu.

Lawatan ini merupakan sebahagian daripada usaha BKGIS menjejak kembali warisan dan sejarah kerja-kerja kartografi yang pernah menjadi antara tunjang penting kepada Jabatan Ukur. Pada suatu ketika dahulu, Jabatan Ukur bukan sahaja memainkan peranan dalam bidang ukur dan pemetaan, malah turut menjadi pusat kepada kepakaran reka bentuk grafik, seni halus dan percetakan dokumen keselamatan negara.
Sepanjang lawatan, delegasi turut diberikan penerangan oleh Pegawai Arkib Negara Malaysia, En. Joshua Mahalaleel E Alexander, mengenai sejarah dan ciri-ciri dokumen tersebut.
Menurut beliau, Watikah Pemasyhuran Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu merupakan salinan asal yang mengandungi teks dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu bertulisan Jawi. Manakala Watikah Proklamasi Malaysia pula merupakan salinan asal yang mengandungi teks dalam Bahasa Melayu tulisan Rumi, Bahasa Melayu tulisan Jawi dan juga Bahasa Inggeris.

Kedua-dua dokumen bersejarah ini kini dipelihara dan dipulihara oleh Arkib Negara Malaysia sebagai sebahagian daripada khazanah warisan dan sejarah negara.
Lebih bermakna, BKGIS turut menyimpan salinan kedua-dua watikah tersebut sebagai bukti sejarah terhadap kepakaran dan peranan yang pernah dimainkan oleh Jabatan Ukur dalam menghasilkan dokumen-dokumen penting negara.

Lawatan ini bukan sekadar menyingkap sejarah, tetapi turut membuka ruang untuk generasi hari ini mengenali dan menghargai warisan kepakaran kartografi serta sumbangan warga Jabatan Ukur dalam pembinaan sejarah negara.


_.png)



Komen