MAJLIS MENANDATANGANI PERSETUJUAN PELAN KERJA HASIL PENANDAAN DAN PENGUKURAN SEMPADAN BERSAMA NEGERI ANTARA WILAYAH PERSEKUTUAN PUTRAJAYA DAN NEGERI SELANGOR
- NURAZREEN BINTI NORDIN (JUPEM-BEP)
- 4 Sep 2025
- 2 min membaca
Updated: 25 Nov 2025
MESYUARAT JAWATANKUASA BERSAMA TEKNIKAL (JBT) SEMPADAN BERSAMA ANTARA WILAYAH PERSEKUTUAN PUTRAJAYA DAN NEGERI SELANGOR | 28 OGOS 2025

Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Teknikal (JBT) Penandaan dan Pengukuran Sempadan Bersama antara Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya telah diadakan pada 28 Ogos 2025 yang lalu di Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Mesyuarat tersebut diadakan bagi tujuan menandatangani keseluruhan 24 lembar pelan kerja ukuran sempadan yang melibatkan kawasan persempadanan antara Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Negeri Selangor.
Pelan-pelan kerja ukuran sempadan tersebut telah diluluskan oleh YBrs. LSr Mohamad Azmar bin Che Mat, Pengarah Ukur dan Pemetaan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/Putrajaya bersama YBrs. LSr Looi Kam Seng, Pengarah Ukur dan Pemetaan Selangor. Seterusnya persetujuan ke atas 24 lembar pelan kerja tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Bersama JBT Penandaan dan Pengukuran Sempadan Bersama antara Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya iaitu YBhg. Datin Paduka Rahilah binti Rahmat, Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan dan YBhg. Dato' Dr. Yusri bin Zakariah, Pengarah Tanah dan Galian Selangor. YBrs. LSr Muhammad Salim bin Mohd Asari, Timbalan Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan II JUPEM hadir menyaksikan saat bersejarah ini dan turut hadir sama ialah Encik Hazrey bin Tomyang, wakil dari Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam dan YBrs. LSr Nazri bin Othman, Pengarah Ukur Bahagian Kadaster serta pegawai-pegawai kanan daripada Pihak Berkuasa Negeri terlibat.



Pelaksanaan kerja penandaan dan pengukuran ini adalah berlandaskan Memorandum Persefahaman (MoU-2) Hasrat Penandaan dan Pengukuran yang telah ditandatangani pada 13 Jun 2022. Memorandum tersebut memberi mandat rasmi kepada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) untuk melaksanakan kerja-kerja ukuran persempadanan bagi sektor berkenaan. Seiring dengan itu, kedua-dua negeri kini giat bekerjasama dengan JUPEM serta komited untuk memuktamadkan pemeteraian perjanjian sempadan antara Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Negeri Selangor, yang disasarkan selesai pada suku tahun keempat 2025.
Terdahulu dalam hubungan yang berkaitan pada 26 Ogos 2025, pelan-pelan kerja berkenaan terlebih dahulu turut ditandatangani oleh Jurukur-Jurukur Daerah bagi kedua-dua sektor serta pegawai yang terlibat daripada JUPEM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/Putrajaya dan JUPEM Selangor.
Kerjasama erat ini bukan sahaja memperkukuh tadbir urus tanah dan meningkatkan keupayaan pengurusan sempadan, malah turut memastikan segala urusan pentadbiran serta pembangunan wilayah dapat dilaksanakan dengan lebih teratur, efisien dan berpaksikan pada dokumen persempadanan yang sah. Ia sekali gus membuktikan komitmen berterusan daripada kerajaan negeri dalam memelihara kepentingan wilayah, menjamin ketelusan pentadbiran serta mengukuhkan kedaulatan negeri. Tahniah kepada JBT, pegawai dan semua kakitangan JUPEM, PTG serta semua Pihak Berkuasa Negeri yang terlibat.



_.png)




Komen