GDAS: GO-LIVE GDAS INTERIM
- THUAIBATUL ASLAMIAH BINTI MASTOR (JUPEM-BPTSM)
- 23 Dis 2024
- 2 min membaca
HEBAHAN TARIKH GO LIVE GDAS INTERIM BAGI BAHAGIAN PEMETAAN TOPOGRAFI (BPT) SEMENANJUNG MALAYSIA, SABAH DAN SARAWAK.
Sistem GDAS Interim dibangunkan sebagai langkah sementara untuk mengatasi cabaran ketidakseragaman spesifikasi sistem yang muncul daripada pelaksanaan projek GDAS terdahulu. Projek-projek sebelumnya, iaitu GDAS1 (2013-2014), GDAS2 (2014-2015), dan GDAS Enhancement (2017), telah mewujudkan variasi dalam spesifikasi teknikal antara BPTSM, BPTSwk, dan BPTSbh. Selain itu, sistem ini menggunakan perisian ArcGIS versi 10.2.1 (BPTSbh) dan 10.3.1 (BPTSM dan BPTSwk), yang kini telah melangkaui fasa “End of Life (EOL)”.
Sebagai langkah “stop-gap,” Sistem GDAS Interim membolehkan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) meneruskan kerja-kerja penerbitan produk-produk topografi sehingga pembangunan Sistem GDAS3 selesai.
Berikut merupakan tarikh Go Live GDAS Interim:

Objektif GDAS Interim
Objektif GDAS Interim adalah untuk memastikan kesinambungan dan keberkesanan operasi pemetaan dengan menstabilkan sistem bagi mengelakkan gangguan kepada kerja-kerja pemetaan. Selain itu, GDAS Interim juga bertujuan menyeragamkan spesifikasi dan mengurangkan variasi antara modul sistem di ketiga-tiga lokasi utama, iaitu BPTSM, BPTSwk, dan BPTSbh. Di samping itu, sistem ini akan menggantikan teknologi lama dengan menyediakan platform sementara yang lebih relevan dan sesuai dengan keperluan semasa sebelum pelaksanaan sistem GDAS3 secara menyeluruh.
Modul GDAS Interim
Sistem GDAS Interim terdiri daripada sepuluh (10) modul utama yang direka untuk menyokong pelbagai aspek dalam pemetaan topografi. Modul pertama, Pangkalan Data Topografi, modul ini bertanggungjawab mengurus data geospatial bagi aplikasi pemetaan. Modul Pengurusan Aliran Kerja pula menyelaraskan proses kerja untuk meningkatkan kecekapan. Pemodelan Perancangan Pemetaan pula membantu dalam merancang aktiviti pemetaan secara strategik.
Seterusnya, Modul Pendigitan 3D dan Pendigitan 2D masing-masing menyediakan peta topografi dalam format tiga dimensi (3D) dan dua dimensi (2D) dengan ketepatan tinggi. Modul Kerjaluar pula menyokong aktiviti pengumpulan data lapangan, manakala modul Kawalan Kualiti memastikan data dan peta yang dihasilkan memenuhi piawaian.
Selain itu, Generalisasi Peta digunakan untuk menyederhanakan data peta bagi aplikasi tertentu, sementara Penerbitan Peta menghasilkan peta siap guna untuk pelanggan dan pihak berkepentingan. Akhir sekali, modul Keselamatan Data & Perkhidmatan Pentadbiran melindungi integriti data serta mengurus hak akses pengguna untuk memastikan keselamatan sistem secara menyeluruh.
Manfaat GDAS Interim
Pelaksanaan GDAS Interim menawarkan pelbagai manfaat utama kepada operasi pemetaan di JUPEM. Terutamanya bagi memastikan kelestarian operasi pemetaan dengan membolehkan JUPEM terus menghasilkan produk topografi walaupun sistem utama GDAS 3 masih dalam pembangunan. Selain itu, sistem ini menyediakan penyelarasan sistem yang mengurangkan ketidakseragaman antara bahagian-bahagian yang terlibat, sekali gus meningkatkan integrasi operasi.
Sistem GDAS Interim juga direka dengan penyesuaian modular, yang membolehkan penambahbaikan dilakukan secara spesifik mengikut keperluan setiap lokasi. Di samping itu, fokus terhadap keselamatan dan kualiti data memastikan hasil kerja memenuhi piawaian keselamatan dan kualiti yang tinggi, menjadikan sistem ini lebih dipercayai dan berdaya saing.
Informasi:
Secara kesimpulannya Sistem GDAS Interim memainkan peranan penting sebagai langkah sementara dalam transformasi teknologi JUPEM. Dengan sepuluh (10) modul yang komprehensif, ia tidak hanya memastikan kelangsungan aktiviti pemetaan tetapi juga menjadi asas kepada pembangunan GDAS3 yang lebih mampan untuk masa hadapan. Sistem ini menunjukkan komitmen JUPEM dalam memastikan perkhidmatan pemetaan kekal relevan dan memenuhi keperluan negara.
Comentarios